Saturday, June 22, 2013

Bedah buku : Novel Sinergi karya Hilal Asyraf


Tajuk : Sinergi
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu
Jumlah muka surat : 500

Mengimbau kali pertama aku menemui novel Sinergi ialah melalui seorang  sahabatku pada penghujung tahun 2011. Aku terlihat tajuknya yang lain daripada lain dan kulit hadapan novel yang menarik seakan-akan memanggil-manggil aku untuk membaca buku itu. Meskipun aku pernah terbaca laman blog Hilal Asyraf, pada tahun sebelum-sebelum itu namun aku tidak pernah membaca karya-karyanya.

Pada aku, Sinergi mempunyai keistimewaanya tersendiri. Tidak serupa dengan novel-novel di pasaran yang lain. Sinergi membawa tema persahabatan dan keimanan. Apakah maksud Sinergi di sini?
“Sinergi. 1+1=3. 1 adalah individu + keimanan. Sesiapa yang mendirikan ukhuwah mereka atas dasar keimanan, pastinya menghasilkan sesuatu yang luar biasa, kekuatan yang luar biasa, kebahagiaan yang luar biasa, ketabahan yang luar biasa, kecekalan yang luar biasa dan kesungguhan yang luar biasa. Paling luar biasanya, hubungannya menembusi syurga”

Plot dalam cerita ini lebih banyak di bumi Jordan. Berlatar belakangkan Jordan University of Science and Technology  (JUST) dan Universiti Yarmouk. Pembaca didedahkan sedikit sebanyak dengan sistem pembelajaran di Jordan yang berlainan dengan Malaysia. Selain  itu, pembaca juga dibawa berkenalan dengan makanan-makanan yang ada di sana.

Plot yang disusun begitu kemas dan memudahkan pembaca dalam memahami dan menghayatinya. Persahabatan yang begitu akrab telah terjalin sekian lama antara Irfan dan Asid. Mereka membesar bersama-sama dan belajar di tempat yang sama meskipun dalam jurusan yang berbeza. Irfan mengambil jurusan Usuluddin manakalah Asid berada dalam jurusan pergigian. Namun, perbezaan ini tidak pernah memisahkan mereka malahan mereka saling menyokong antara satu sama lain supaya lebih maju agar dapat berbakit untuk ummah. 

Mereka memperbahui persahabatan yang dibina agar berdasarkan keimanan. Kata-kata mereka sungguh menyentuh hati,“Hatta kalau kau terjun ke neraka, aku akan terjun sama untuk menarik kau, naik semula dan berjalan beriringan dengaku sehingga ke syurga.”

Mereka berdua merupakan bekas pimpinan pelajar yang tertinggi namun masih meneruskan kepimpinan mereka melalui bidang dakwah. Konflik bermula dengan kehadiran Disaster Five. Mereka bukan sebarangan kumpulan, ahli-ahlinya merupakan juga pelajar-pelajar dari Malaysia yang sangat genius namun berperwatakan yang  tidak menyenangkan komuniti pelajar Malaysia di situ. Mereka sering kali menimbulkan pelbagai perisitiwa yang boleh membuatkan orang lain huru-hara. Irfan tetap tega dalam menghadapi semua cabaran itu. Dirinya tidak cepat melatah dan cuba mengajak semua orang untuk melayan mereka dengan baik dan berbaik-baik dengan mereka.

Seterusnya, konflik juga muncul ketika Irfan dan Asid wanita yang sama. Adakah semua konflik ini akan terlerai? Bagaimanakah konflik ini menemui jalan penyelesaian? Adakah ukhuwah antara Irfan dan Asid akan tetap utuh? Kalau nak tahu lebih lanjut, jomlah baca novel Sinergi ni. Memang berbaloi!

Bagiku sendiri, novel ini punyai kekuatannya tersendiri. “Keimanan adalah paksi”. Semuanya perlu dilihat dengan iman. Pandanglah seseorang itu dengan iman juga nescaya kita tidak mudah berburuk sangka. Hmm…setiap sesuatu yang berlaku itu pasti ada sebabnya. Kalau kita tak tahu, tidak adil bagi kita untuk menghakiminya, boleh jadi kisah masa lampau itu sesuatu yang sukar untuk diceritakan. Sinergi ini mengajar kita supaya memperbaharui persahabatan kita, supaya berlandaskan kepada Allah SWT. 

Jika kita bersahabat dengan seseorang kerana dirinya berharta, apakah bila dia tidak berharta kita akan memandang dirinya lagi. “Cinta akan lenyap bersama lenyapnya sebab”. Konteks cinta itu luas, cinta kepada sahabat itu salah satu daripada cabang cinta juga. Namun biarlah berlandaskan syariat, janganlah terikut-ikut budaya yang salah.

Sungguh, apabila membaca novel ini, terasa seakan-akan pelbagai perkara perlu dinilai semula, bagaimanakah tahap persahabatanku, adakah kerana-Nya atau semata-mata kerana rupa parasnya atau kecerdikannya. Aku benar-benar cemburu dengan persahabatan yang ditonjolkan oleh watak-watak dalam Sinergi ini. Mereka juga  tabah dalam menghadapi ujian Allah SWT dan tidak mudah berputus asa dalam menyebarkan dakwah. Semuanya kerana iman. Semoga kita semua sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT. Mujahadah itu pahit sebab syurga itu manis.

1 comment:

  1. assalam, buku ni skrg dah takde jual di pasaran, jadi boleh x sekiranya sy nk pinjam? Atau kalau awak nk jual pun saya sudi nk beli.

    ReplyDelete