Saturday, June 22, 2013

Bedah buku : Takdir 2 : Percaya yang tidak sirna

Tajuk : Takdir 2: Percaya yang tidak sirna
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu
Jumlah muka surat : 463

Takdir merupakan novel trilogi
, ini adalah novel kedua. Percaya itu bukan sesuatu yang mudah. Tambahan apabila ujian hadir bertimpa-timpa. Kala itulah hati yang telah percaya akan mulai goyah. Apakah ini balasan yang diterima atas perbuatan baik yang telah diberi? Tidak adakah bantuan di kala bantuan sangat diperlukan.

“Allah tidak akan menguji seseorang itu melebih kemampuannya”. Novel kedua ini membaca kita untuk mengikuti pengembaraan mereka dalam meneruskan perjuangan. Perjuangan mereka belum tamat lagi. Ada cabaran yang menanti. Mereka sedang diuji. Percaya itu sesuatu yang sukar tambah sukar lagi apabila berada dalam keadaan sukar.

Kadang kala ada yang boleh mengalah, ada yang terus rebah dan terus berpaling daripada-Nya. Inilah yang dihadapi oleh mereka di pihak yang benar dalam menentang kebatilan. Kali ini salah satu kerajaan yang masih percaya akan Agama Langit telah diuji. Mereka hampir berputus asa kala itu, tapi firman Allah SWT kembali memujuk hati mereka, “Apakah mereka sangka mereka beriman, sedangkan mereka tidak diuji?”
Ujian itu adalah tanda kasih-Nya buat hamba-hamba-Nya. Pasti hebat rencananya. Tiada siapa mampu menduga sebab di sebaliknya. Ada antara mereka yang percaya akan Agama Langit mulai goyah dengan kepercayaannya. Mereka sudah tidak mahu percaya lagi. Bagi mereka, kepercayaan itu mulai menyusahkan mereka.

Namun, takdir Allah SWT itu masih sayangkan hamba-Nya. Kala mereka buntu mencari jalan penyelesaian, Dia tunjukkan jalan. Sungguh beruntung orang yang sabar itu. Bukan mudah mendidik diri untuk bersabar kala dalam kesusahan. Dalam kembara kali ini, mereka belajar untuk percaya akan takdir-Nya.
Meskipun mempunyai kemahiran dalam menghadapi peperangan, mereka sebenarnya kurang percaya. Kadang kala hati mereka dihinggapi perasaan putus asa dalam perjuangan ini. Ditambah pula ada yang telah mencabut kepercayaan mereka. Ada yang sanggup menjadi tali barut kepada pihak musuh kerana percaya caranya akan membawa keamanan kepada mereka.

Padahal caranya itulah yang akan membawa kemudaratan kepada mereka. Percaya mereka yang masih utuh kepada Allah SWT sedikit sebanyak telah menyentuh hati musuh-musuh mereka. Ada antara musuh mereka yang mulai berasa gentar. Kembara kali ini telah menyebarkan lagi cahaya-Nya. Kedudukan mereka semakin diperkukuh. Musuh berasa semangat sedikit goyah.

Novel kedua ini turut mempunya episod istimewa yang menceritakan kisah rahsia beberapa orang daripada mereka. Kisah ini sedikit sebanyak dapat meleraikan persoalan yang bermain di minda. Plotnya begitu kemas dan teratur. Gaya penceritaan yang ringkas dan mudah serta diselitkan dengan ayat-ayat Al-Quran pastinya membuatkan aku dan pembaca yang lain semakin bersemangat untuk membacanya.

Percaya itu pasti tidak sempurna tanpa keimanan. “Keimanan itu adalah paksi”. Iman manusia ada naik turunnya. Namun, kita perlu berusaha untuk menjaga indeks prestasi iman kita supaya kita sentiasa dalam keadaan percaya. Bila susah ingat Allah SWT, bila senang juga sentiasalah ingat Allah SWT agar kita ini sentiasa ingat yang kita ini hanyalah hamba. Hanya kepada-Nya tempat kita bergantung harap apabila segala usaha telah dilakukan.


“Sesungguhnya dalam setiap kesukaran ada kemudahan”. Malahan diulang sekali lagi ayat yang sama sebagai penegasan.  Tinggal kita untuk percaya atau tidak. Percaya yang tidak pernah sirna pastinya membawa kebahagiaan. Bukan senang untuk senang dan bukan susah untuk susah. Pengorbanan diperlukan untuk mencapai kejayaan. Kita tidak tahu apakah kesudahan sesuatu perkara, kita cuma mampu merancang dan Allah SWT jualah yang menentukan. Tak sabar menunggu Takdir 3!

No comments:

Post a Comment