Saturday, June 22, 2013

Bedah buku : Takdir : cahaya yang tidak terpadam

Tajuk : Takdir : Cahaya yang tidak terpadam
Penulis : Hilal Asyraf
Penerbit : Galeri Ilmu
Jumlah muka surat : 533

Agama Langit merupakan agama yang suci. Sesiapa yang mengamalkannya dalam kehidupan, nescaya sejahteralah hidupnya. Takdir : cahaya yang tidak terpadam merupakan kisah perjuangan kebenaran menentang kebatilan yang telah bertapak selama sepuluh tahun. Semua yang berlaku ada kerana tangan-tangan manusia itu sendiri. Mereka mula alpa apabila diberikan nikmat, malahan menyalah gunakannya pula. Nikmat yang telah bertukar menjadi ujian buat mereka apabila mereka cuba melanggar fitrah alam.

Mereka itu manusia-manusia pintar yang telah menghasilkan Sang Asura. Sang Asura yang kini telah menguasai dua pertiga dunia dan dalam proses menguasai dunia. Namun hasratnya belum sempurna tanpa menguasai tiga buah lagi kerajaan. Semua kerajaan yang dikuasainya telah hilang kepercayaan kepada Agama Langit. Mereka hanya mempercayai Sang Asura adalah segala-galanya.

Namun, di celah-celah mereka ini, masih ada cahaya yang tidak terpadam di dalamnya. Mereka itulah yang terus cuba menyebarkan cahayanya kepada seluruh alam. Mereka inilah yang terus teguh dengan Agama Langit. Perjuangan Kiai Songo [seramai sembilan orang] sepuluh tahun yang lalu perlu disambung! Itulah tekad mereka.

Perjuangan ini bermula dengan perjalanan seorang pemuda bernama Angkasa Sakti. Ya, namanya unik sekali. Dalam perjalannya dia telah menempuhi pelbagai cabaran dan bertemu dengan orang-orang yang mempunya tujuan yang sama iaitu untuk mengambalikan cahaya-Nya. Tugasan mereka bukannya mudah. Mereka perlu menuntut ilmu untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka.

Konflik yang paling besar ialah apabila kerajaan yang masih mempercayai Agama Langit cuba diserang secara besar-besaran oleh pihak lawan. Mempertahankan sesuatu lebih sukar daripada memenanginya. Mereka berusaha sedaya-upaya untuk mempertahankannya dan bertawakal kepada-Nya.

Bagi aku sendiri,  membaca novel ini bukan novel epik Islami yang biasa. Novel ini ditulis untuk menginspirasi kita semua. Kadang kala kita terleka dalam nikmat yang diberi hingga terlupa sebenarnya itulah ujian sebenarnya buat kita. Bukannya mudah untuk menemui novel-novel epic yang sering menyelitkan ayat-ayat Al-Quran buat peringatan kita insan yang muda lalai ini.

Selain itu, kisah bagaimana gigihnya Tuk Fathan menyebarkan dakwahnya meskipun tidak diendahkan oleh masyarakat sekliling mengingatkan akan kisah Rasulullah SAW dalam usaha dakwahnya. Ya, bukan mudah untuk menarik hati manusia itu. Hati manusia itu mudah berbolak-balik, hanya Allah SWT yang mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Ada juga kisah-kisah yang digambarkan dalam ini mengingatkan kita akan sirah para rasul. Membacanya seakan-akan mengubati kerinduan dan menguatkan lagi ingatan. Kisah-kisah ini pasti dapat dijadikan teladan dan sempadan buat kita semua dalam melayari kehidupan.

Susunan plot yang kemas membolehkan aku selaku pembaca menghayatinya. Aku berasa tidak sabar dan tidak keruan untuk mengetahui apakah yang akan terjadi pada setiap kejadian. Bahasa yang digunakan dalam novel ini juga mudah difahami.

Apabila aku membaca novel ini, aku seakan-akan dapat membayangkan diri aku seolah-olah berada di sana. Sungguh mengujakan dan mendebarkan! Oh ya, novel ini sangat disarankan untuk dibaca oleh semua peringkat umur terutamanya remaja. Terdapat pelbagai ilmu di dalamnya yang boleh kita pelajar dan ambil untuk diamalkan dalam kehidupan.


Kebijaksanaan manusia itu perlu selari dengan keimanan supaya tidak mudah tersasar di jalan-Nya. Bukan mudah untuk membetulkan balik keadaan. Takdir:cahaya yang tidak terpadam bukan suatu kesudahan malah ada sambungan. Nantikan Takdir 2: Percaya yang tidak sirna kerana kisah epik Islami ini ialah sebuah trilogi. Menanti sambungannya agak mendebarkan dan membuatkan hati tak keruan.

No comments:

Post a Comment